Perhinaan Barat Terhadap Agama Islam

Isu penghinaan Barat terhadap Islam di dalam artikel ini adalah berkait dengan isu karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w yang begitu hangat dibicarakan baru-baru ini. Isu ini sudah hampir reda, namun ini tidak bermakna masalahnya telah selesai. Ini juga tidak bermakna, penghinaan terhadap Islam sudah sampai ke penghujungnya.

Redanya isu ini membawa kita kepada memahami apakah sebenarnya yang boleh dipelajari daripada isu penghinaan terhadap Islam. Apa yang pasti, peristiwa ini memberikan banyak pengajaran terutamanya berkait dengan penghinaan berterusan Barat terhadap Islam.

Pertama, usaha untuk memberikan kefahaman tentang Islam kepada dunia Barat masih belum menampakkan hasilnya. Oleh itu, masih banyak usaha yang perlu dilakukan oleh dunia Islam dalam menjelaskan hal ini.
Namun begitu, timbul juga persoalan sama ada mampukah kita berjaya dalam misi ini? Ini kerana, dunia Barat telah sedia mempunyai pandangan serong terhadap Islam hinggakan mereka mempunyai rasa takut tanpa sebab terhadap Islam.

Kedua, dunia Barat tidak jujur atau tiada usaha untuk memahami bahawa Islam bukan satu agama yang menyokong keganasan. Ini kerana, sejak sekian lama Islam dan umatnya terus ditindas dari pelbagai aspek politik, ekonomi dan sosial.
Malahan, belum pun isu karikatur itu selesai, kini terpampang pula berita serta gambar seorang remaja Iraq dibelasah dengan teruk oleh tentera negara bersekutu.
Jadi, di manakah benarnya Islam sebagai agama pengganas sedangkan Islam dan umatnya terus diperangi dan diseksa tanpa belas kasihan.

Ketiga, berkait dengan tindak balas umat Islam terhadap penghinaan Barat. Sejak sekian lama, penghinaan Barat terhadap Islam mengundang tindak balas tertentu. Pelbagai saluran bantahan digunakan, namun usaha itu `bagai mencurah air ke daun keladi'. Malah, mereka mungkin hanya mentertawakan reaksi umat Islam itu. Samalah juga halnya dengan isu karikatur kali ini.
Tindak balas umat Islam sungguh memberangsangkan sehingga menimbulkan kegusaran dunia Barat kerana takut rakyat mereka di luar negara diperangi pula. Namun, tindak balas umat Islam itu kadangkala dirasakan tidak sesuai caranya kerana selalu berakhir dengan keganasan yang hanya membenarkan tuduhan Barat itu sendiri.

Keempat, dunia Barat sering menunjukkan kelemahan sendiri dalam menyelesaikan masalah yang telah dimulakannya. Dalam isu karikatur, hal ini tidak terkecuali. Kali ini Malaysia diminta membantu menyelesaikannya. 
Malaysia mungkin boleh membantu menyelesaikan masalah ini atas nama keamanan sejagat tetapi kita juga perlu `mendidik' dunia Barat bahawa persendaan mereka terhadap Islam tidak langsung boleh diterima.

Kelima, dalam kita memberi tumpuan kepada ketidakfahaman Barat terhadap Islam serta berusaha memberikan penjelasan kepada mereka, rupa-rupanya kita terlupa bahawa ketidakfahaman ini juga wujud di kalangan sekumpulan individu dalam negara kita sendiri. Ketidakfahaman boleh dilihat apabila ada yang menyiarkan semula karikatur penghinaan itu.
Sepatutnya, mereka yang tinggal dalam negara berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia lebih faham dan peka akan isu ini, tetapi malangnya hal sebaliknya berlaku.

Inilah beberapa pengajaran yang dapat dicerap daripada isu penghinaan Islam yang tidak pernah ada surutnya. Walaupun, isu yang dirujuk ini berkait dengan isu karikatur tetapi perlulah diingat bahawa penghinaan terhadap Islam telah berlaku sekian lama. Seluruh umat Islam tentu tidak pernah lupa kisah bagaimana Rasulullah s.a.w dihina dalam usaha Baginda menyebarkan Islam.
Jelas, penghinaan ini telah wujud sejak berkurun lamanya. Oleh itu, umat Islam tidak boleh mengharap bahawa penghinaan ini akan berhenti.

Apa yang penting adalah bagaimana kita menangani penghinaan itu. Tindak balas ganas yang ditunjukkan bagi membantah isu karikatur adalah sangat tidak wajar. Ketidakwajaran ini telah banyak disebut oleh para cendekiawan Islam.
Oleh itu, seluruh umat Islam diseru agar bertindak bijak dalam hal ini. Perlulah diingat bahawa dunia Barat memang suka `mengusik' kerana mereka hendak melihat reaksi kita dan membenarkan tanggapan serong mereka terhadap Islam dan umatnya. Apa yang pasti, umat Islam tidak perlu cepat melatah tetapi menangani hal ini dengan kesabaran dan kepintaran.


Kredit: www.utusan.com.my
Tags:

Quran

Sesungguhnya Al Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi kabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal saleh bahwa bagi mereka ada pahala yang besar. (Surat Al Isra’:9)

0 comments

Leave a Reply