CAHAYA al-Quran menyinari seluruh dunia sebagai petunjuk dan pedoman hidup bagi peribadi yang menghendaki ketenteraman, kedamaian serta kebahagiaan.
Al-Imam Ghazali berkata dalam kitabnya Ihya Ulumuddin: “Segala macam ilmu pengetahuan, baik yang terdahulu, sekarang, akan datang, semuanya berpunca daripada al-Quran.”
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Telah aku tinggalkan kepadamu perkara yang apabila kamu tetap berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu kitab (al-Quran) dan sunnah Rasulnya.”
Sejarah membuktikan, sejak al-Quran diturunkan pada malam 17 Ramadan di Gua Hira’, ia berjaya mengubah umat jahiliah yang hidup tanpa sebarang peraturan dan sistem akhlak kepada umat terbaik serta dicontohi dalam segala bidang.
Hal ini dibuktikan oleh Rasulullah SAW di mana selama 23 tahun memimpin umat Islam berpandukan al-Quran, Islam menjadi agama kuat dan dinamik. Ajarannya bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia.
Al-Quran menjadikan umat Islam pada zaman kepemimpinan Rasulullah SAW dan khalifah Al-Rashidin berjaya mencipta satu tamadun baru kepada dunia hingga berjaya meruntuhkan dua tamadun besar dunia pada ketika itu iaitu Rom dan Parsi.
Firman Allah bermaksud: “Dan kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan Rahmat bagi orang yang beriman, dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan (apa-apa) kepada orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian semata-mata.” (Surah al-Isra’, ayat 82)
Dalam memahami ayat itu, Imam Muhamad Al-Razi dalam tafsirnya Al-Fakhul al-Razi menjelaskan bahawa al-Quran adalah penawar yang boleh menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani.
Penyakit dibahagikan kepada dua bahagian. Penyakit iktikad yang batil dan sesat serta penyakit akhlak yang buruk.
Beliau menjelaskan seterusnya bahawa yang dimaksudkan dengan iktikad yang batil dan sesat itu ialah pegangan salah terhadap masalah ketuhanan dan kenabian.
Al-Quran lengkap dengan peraturan bagi jalan hidup yang benar, selaras kehendak Allah , malah boleh menjadi ubat untuk menyembuhkan penyakit.
Sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: ‘Barang siapa yang tidak dapat mengubati penyakit dengan al-Quran, maka Allah tidak akan menyembuhkan penyakitnya.”
Penyakit dan keburukan akhlak seperti tidak amanah, najis dadah dan arak adalah penyakit yang tidak mungkin dapat diubati dengan cara lain selain al-Quran, yang perlu dibaca dan diamalkan.
Selagi al-Quran tidak diamalkan dalam erti kata sebenar, maka semua penyakit itu tidak akan dapat diubati.
Pada hari ini, saat ini, kita perlu bertekad mengembalikan diri dan seluruh hidup kepada al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya.
Pertama, hak untuk bertilawah kepadanya . Kedua, hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan. Ketiga, hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya
Saya terkejut.
Capati dilepaskan kembali ke pinggan.
“Err, wa ‘alaikum al-Salaam” saya membalas salam beriringan dengan senyuman.
“Saya sudah lama mencari peluang mahu bertemu dengan ustaz. Nak minta tandatangan buku ni!” kata beliau.
Seorang anak gadis yang hadir bersama ke Kuliah Maghrib saya malam itu.
Pakcik-pakcik yang sedang menjamah hidangan ringan usai ceramah dan Solat Isyak itu nampak terkejut dengan keramahan anak gadis itu. Terkejut juga dengan saya yang baru pertama kali berceramah di situ… barangkali.
Saya serba salah.
“Ustaz, saya nak tanyalah. Apa tips untuk orang yang putus cinta ya?” kata anak gadis itu. Duduk bertimpuh hampir-hampir bertemu lutut mengadap saya. Hingga mengesot pakcik di sebelah memberi laluan.
“Err, saya tak pernah putus cinta. Fadhilat tidak bermain cinta barangkali. Rasanya ada belaka dalam buku-buku ini!” saya membalas ringkas.
“Pakcik, saya nak bergambar dengan Ustaz Hasrizal. Tolong ambilkan gambar kami!” kata anak gadis itu sambil menyerahkan kamera digitalnya kepada Pengerusi Surau.
Beliau segera duduk rapat. Saya pula yang segera bergerak menjauhkan diri kerana takut tersentuh beliau. Sesuatu yang tidak harus, apatah lagi untuk diabadikan dalam sebuah foto yang ‘penuh berkat’ kerana diambil oleh Pengerusi Surau.
“Eh, sekejap. Sekali lagi. Takut tak jadi pula. Nanti dah putus cinta, tambah masalah dengan gambar tak jadi!” kata Pengerusi Surau. Menyindir sambil bergurau.
“Ok, terima kasih pakcik. Terima kasih ustaz. Seronoknya saya dapat jumpa ustaz. Assalamualaikoooommmm!” katanya sambil melambai tangan kepada kami.
Muka saya merah padam. Telinga pun panas. Pelbagai perasaan bercampur aduk.
MAKIN MENJADI-JADI
Sesungguhnya saya sangat tidak suka dengan perkembangan setahun dua ini apabila ramai Muslimah mahu bergambar bersama. Yang beramai-ramai itu satu bab, ini yang solo pun satu isu juga. Mahu sahaja saya tolak mentah-mentah. Tetapi tak tergamak mengaibkan dia di depan orang ramai.
Sekadar memberi peringatan sahaja.
“Panggillah kawan-kawan lain,” saya cuba mengelak bergambar solo dengan perempuan.
“Ehh, Shahril. Mari sini kita bergambar sama!” saya menarik tangan seorang mahasiswa untuk meneman saya yang sedang dikepung oleh muslimat.
Saya tidak selesa dengan perkembangan itu.
Namun kemuncaknya ialah di surau malam itu.
Seorang perempuan mahu bergambar dengan saya hingga hampir-hampir sahaja beliau menyentuh saya. Lebih memburukkan keadaan, perempuan itu menyuruh Pengerusi Surau mengambil gambar kami berdua.
Saya berasa sangat malu dan serba salah dibuatnya.
“Maafkan saya tuan. Semenjak kebelakangan ini kejadian macam ini selalu terjadi. Risau saya dibuatnya,” saya cuba meredakan rasa janggal yang menimpa jemaah surau yang kaget dengan kejadian itu.
“Inilah akibatnya apabila banyak menulis tentang CINTA!” saya mahu memberikan kata kuncinya.
“Ehh ustaz, kena tulis banyak lagi tentang CINTA. Sebab cinta itulah remaja kita hancur dan murtad pun ada!” kata pakcik-pakcik itu.
Saya menarik nafas lega. Mujurlah pakcik-pakcik tersebut mempunyai perspektif yang selari dengan pandangan saya..
“Rasanya perempuan tadi tu sedang terganggu fikiran. Putus cinta nampaknya!” kata Pengerusi Surau.
Mungkin juga. Saya sendiri berasa begitu.
KAMI BUKAN ARTIS
Sesungguhnya saya bukan artis, bukan selebriti, bukan juga idola atau apa sahaja yang sebahagian anda bayangkan. Saya adalah seorang lelaki, Muslim, yang bukan mahram anda dan mengharapkan ada secebis haya’ untuk bertindak sebagai benteng yang membatas tindak tanduk kita.
Jika kita mengagumi tulisan penulis, dakwah pendakwah, kolum kolumnis dan novel novelis, janganlah dimanifestasikan kekaguman itu sama dengan cara peminat nyanyian penyanyi atau lakonan pelakon, untuk bergambar bersama-sama antara seorang lelaki dan seorang perempuan kerana Syaitan tidak membezakan status atau profesyen kita. Dia sentiasa menjadi pihak ketiga dalam sekeping gambar yang menghimpunkan ‘kita berdua’.
Mungkin ini maksud sebenar kata-kata orang tua, “jangan bergambar bertiga, nanti ada yang mati!” Hakikatnya gambar bertiga itu ialah dua insan yang bukan Mahram bergambar bersama, Syaitan menjadi orang ketiga, dan pemangsa itu akan membunuh salah seorang atau kedua-duanya.
Elakkanlah bergambar solo dengan mana-mana lelaki yang bukan Mahram anda, baik bergambar dengan saya atau sesiapa sahaja. Begitu juga dengan anak muda, janganlah dibiasakan bergambar dengan perempuan-perempuan yang bukan ibu, adik beradik perempuan atau opah wan anda.
Ia menyalahi adab, adat dan Syariat kita.
“Sesungguhnya di antara perkara yang difahami oleh manusia daripada pesanan sekalian Nabi ialah, jika kamu tiada rasa malu, buatlah apa sahaja yang engkau mahu!” [Hadith al-Bukhari : 3224]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:
“Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” [Hadith Muslim no. 145]
Semasa Islam datang, seruannya menimbulkan rasa hairan. Kehairan itu cukup untuk Islam ditolak, dipencilkan, ditertawakan, dituduh sebagai sihir dan agenda orang gila, dan seribu satu kecaman yang terakam di lembaran Sirah.
Masakan tidak.
Islam datang menongkah kebiasaan.
Manusia sudah biasa menjadi hamba kepada manusia. Biar pun perhambaan itu penuh dengan kezaliman dan penderitaan, manusia lebih selesa untuk mengekalkan kebiasaan berbanding menerima perubahan.
Zina yang haram sudah menjadi kebiasaan. Lalu pernikahan yang halal menjadi kejanggalan.
Arak yang menukar manusia jadi binatang sudah diterima sebagai normal. Makanan dan minuman yang halal lagi baik, dianggap pelik dan menyusahkan.
Riba yang mencengkam dan menyeksa kehidupan sudah diterima pakai sebagai tatacara hidup. Jual beli yang bersih lagi adil, dilihat sebagai asing dan tidak mempunyai masa depan.
Walaupun perhambaan, penzinaan, arak dan judi serta riba dan kezaliman, semuanya itu menjadikan kehidupan manusia seperti neraka dunia, itu lebih selesa untuk dikekalkan kerana sudah biasa, berbanding mengusahakan perubahan, biar pun ia menjanjikan jalan keluar dari kegelapan Jahiliah tersebut.
Itulah nasib Islam di awal zamannya.
Seruan untuk menyelamatkan manusia dibalas dengan maki hamun. Nabi diherdik dengan penghinaan. Tubuhnya dijamah dengan batu tajam yang menumpahkan darah. Kerana Islam ganjil di awal kedatangannya.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Kejanggalan dan keganjilan itu tidak menimbulkan rasa terasing, malu atau rendah diri pada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan sahabat. Sedikit demi sedikit mereka optimis membawa sinar perubahan, berteraskan iman.
Mereka ganjil bukan sebab mereka salah.
Mereka ganjil kerana mereka berbeza berbanding yang ramai. Itu sahaja.
Firman Allah SWT:
“Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.” [Hud 11: 116]
Ayat ini bercerita tentang sekumpulan manusia asing di tengah masyarakat. Mereka ganjil kerana ketika manusia sudah selesa dengan kerosakan dan menerimanya sebagai satu cara hidup, kelompok ini menyeru kepada sebaliknya. Mereka mengajak kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran.
Namun mereka menjadi asing dan ganjil kerana mereka adalah minoriti.
Majoriti mahukan maksiat dan kerosakan.
Minoriti ini menyeru kepada ketaatan dan kemuliaan hidup.
Mereka inilah GHURABA!
Kerana itulah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:
“Islam bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Kemudian ia akan kembali menjadi seperti permulaannya, dianggap ganjil dan asing semula. Namun berikanlah khabar gembira kepada ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing ini”[Riwayat ibn Asaakir dan dinilaikan Sahih oleh al-Albani]Baginda ditanya, “siapakah orang-orang yang asing itu?”Baginda menjawab, “iaitulah mereka yang berusaha memperbaiki manusia ketika golongan ramai sudah menjadi rosak”[Riwayat Abu Amr al-Dani daripada hadith Ibn Mas’oud. Dinilaikan sahih oleh al-Albani]Di dalam suatu riwayat yang lain, baginda menjawab, “iaitu mereka yang menghidupkan Sunnahku yang telah dimatikan oleh manusia”Juga dalam satu riwayat yang lain, baginda menjawab, “mereka adalah kumpulan kecil di kalangan kelompok ramai yang rosak. Golongan yang menentang kumpulan kecil ini, lebih ramai daripada yang mengikutnya”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pernahkah anda berasa sunyi dan terasing kerana memilih untuk berpegang dengan Islam?
Ketika riba dan rasuah sudah menjadi amalan kebiasaan di dalam urusan perniagaan, proses mendapatkan tender atau kontrak, anda yang memilih untuk tidak menerima semua itu kerana yakin dengan kebenaran ajaran Allah, berasa terasing, dipulaukan, disinis dan disindir. Pernahkah anda berasa seperti itu?
Ketika kawan-kawan memilih untuk terus memukul bola golf biar pun mentari sudah sirna menuju malam, anda yang memilih untuk bersolat tercicir daripada permainan, lalu ditertawakan oleh teman yang ramai, pernahkah anda mengalami pengalaman seperti itu?
Semasa ramai orang berasa malu untuk diketahui tidak pernah melakukan seks dengan sesiapa biar pun usia sudah mencecah belia, anda memilih untuk terus mempertahankan diri daripada zina kerana yakin dengan kebaikan menjauhinya dan besarnya kebinasaan menjamah dosa itu, pernahkah anda berasa tertekan dengan pilihan yang tidak popular itu?
Ketika orang ramai selesa dengan makan apa sahaja ada di depan mata, tanpa perlu diambil kira halal haramnya, anda memilih untuk bersusah payah mencari yang halal di celah syubhat dan haram yang berleluasa, lalu anda dianggap berlebih-lebihan dan ekstrim kerana pilihan itu, pernahkah anda berasa jauh dan terasing dengan cara hidup yang sedemikian rupa?
Tatkala orang semakin menerima cara hidup yang membelakangkan agama, mendedahkan aurat, bergelumang dengan maksiat, sebagai aras tanda mengukur kemodenan diri, tiba-tiba anda yang membungkus tubuh dengan pakaian yang menyembunyikan anggota yang bersangkutan dengan harga diri, pernahkah anda dicemuh kerana memilih untuk tidak berfesyen seperti manusia yang ramai hari ini?
Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Tooba lil Ghurabaa’!
Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. [al-An’aam 6: 116]
Allah Subhanahu wa Ta’aala juga menyebut:
”Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman)” [Yusuf 12: 103]
Allah ‘Azza wa Jalla berpesan lagi:
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik” [al-Maa’idah 5: 49]
Allah Subhanahu wa Ta’aala memberikan peringatan di dalam al-Quran:
“Akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur” [Yusuf 12: 38]
Bersabarlah jika anda dipandang asing. Andai pandangan sedemikian berpunca daripada anda memilih Islam di zaman yang penuh cabaran ini.
Jemaah kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Keganjilan yang pertama, adalah keganjilan kerana memilih kebenaran.
Keganjilan ini tidak menjadikan kaum minoriti yang memilih Islam menderita, sedih lagi berdukacita. Sama ada di dunia, mahu pun di Akhirat. Mereka sentiasa sedar yang mereka tidak bersendirian, kerana Allah sentiasa menemani mereka dalam kehidupan.
Di Padang Mahsyar, ketika orang ramai dihimpunkan mengikut apakah agama dan cara hidup mereka semasa di dunia, sekelompok ini ditanya, “apakah kamu tidak pergi menyertai manusia yang ramai itu?” Mereka menjawab, “Semasa di dunia lagi, kami sudah pun tidak menyertai mereka biar pun semasa itu kami memerlukan mereka berbanding hari ini. Kami akan terus menunggu keselamatan dari Allah yang kami abdikan diri kepada-Nya selama ini”
[Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Namun,
Syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia mengheret manusia untuk meninggalkan kebaikan yang menjadi pegangan generasi yang lalu, dan Islam kembali menjadi asing.
Oleh kerana itu, janganlah kecundang dengan rasa rendah diri dan terasing kerana memilih Islam.
Ia adalah pusingan kehidupan yang sudah pun diberitakan.
Suatu ketika, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ditanya tentang maksud firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“ Wahai orang-orang yang beriman! jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan” [al-Maa’idah 5: 105]
Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:
Bahkan sesungguhnya serulah manusia kepada kebaikan dan cegahlah dari kemungkaran. Kamu nanti akan melihat satu keadaan di mana kebatilan akan dituruti, hawa nafsu akan jadi ikutan dan dunia ini akan lebih diutamakan. Setiap orang akan tenggelam dalam pandangan masing-masing. Peliharalah diri kamu dan janganlah dituruti orang ramai. Sesungguhnya selepas zaman kamu ini, akan datang hari-hari yang menuntut kesabaran, dan kesabaran itu akan menjadi seperti perbuatan menggenggam bara api di dalam tangan. Sesiapa yang terus bertahan dengan keadaan itu akan mendapat ganjaran seperti 50 orang yang berbuat perkara yang sama”
Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, ganjaran 50 orang seperti mereka?”
Baginda menjawab, “Ganjaran 50 orang seperti kamu”
[Hadith riwayat al-Tirmidhi dan Abu Daud dengan sanad yang lemah tetapi diperkukuhkan oleh riwayat yang lain]
Ya, bagi kita yang bersabar dengan tekanan dipandang asing kerana mempertahankan Islam, ganjarannya ialah seperti ganjaran 50 orang sahabat. Sebabnya jelas, pengalaman yang sama turut dirasai oleh sahabat di awal permulaan Islam.
Islam asing di zaman permulaannya.
Islam kembali asing di zaman kemudiannya.
Teruskanlah mujahadah anda untuk mengusahakan perubahan.
CREDIT TO :
ABU SAIF @ www.saifulislam.com



Hubungi Kami